Menanti detik 16 September Posted by Skuad Dun Batu Caves
SEPT 6 — "Tidak semestinya 16 September ini bertukar kerajaan, tetapi saya yakin suatu perkara besar akan berlaku 16 September ini," kata Ketua Penerangan PKR, Tian Chua kepada saya pagi semalam ketika kami sama-sama menziarahi jenazah tokoh wartawan negara, Tan Sri Samad Ismail.
Tian Chua secara spontan menyebut hal itu tanpa ditanya secara khusus. Mungkin dia telah faham, semua orang tertanya-tanya apakah akan berlaku pada 16 September ini.
Apakah kerajaan BN akan jatuh dengan digantikan oleh Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri pada tarikh itu. Semua orang mahu tahu apakah ia bakal menjadi realiti atau tidak.
Bagi Tian Chua, apa yang berlaku sekarang sekurang-kurang menunjukkan kejayaan bagi pihaknya.
"Kalau selama ini tidak ada orang yang yakin kerajaan akan bertukar 16 September ini, sekurang-kurangnya sekarang, lapan dari 10 orang yang ditanya akan berkata, mereka yakin ia akan berlaku. Ini satu kejayaan bagi kita dalam membina pendapat rakyat. Ini bermakna rakyat sudah bersama kita," kata Tian Chua.
Namun bagi strategis PKR, Saifudin Nasution Ismail, beliau penuh yakin pertukaran kerajaan akan berlaku pada 16 September ini.
Bagi menggambarkan keyakinannyan, Saifudin dengan jelas berkata, "Berdasarkan dokumen yang saya lihat, peristiwa yang saya saksikan, apa yang kami rancangkan, saya yakin ia akan berlaku."
Menurut Saifudin, bilangan anggota Parlimen yang ada untuk membolehkan kerajaan Malaysia yang ada ini bertukar tangan, sudah melebihi dari mencukupi.
Berdasarkan bilangan anggota Dewan Rakyat, Pakatan Rakyat memerlukan sekurang-kurangnya 112 dari 222 kerusi yang ada untuk mendapat majoriti mudah bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk.
Kini, BN mempunyai 141 kerusi manakala Pakatan mempunyai 81 kerusi. Ini bermakna, Pakatan memerlukan sekurang-kurangnya 30 anggota Parlimen lagi untuk mendapat majoriti mudah.
"Kita (PKR) yakin akan dapat realisasikan rancangan peralihan kerajaan kepada Pakatan Rakyat dengan kemasukkan semula Datuk Seri Anwar ke dalam Parlimen sekarang.
"Kita juga lebih yakin dengan senario itu kerana daripada sumber-sumber tidak rasmi kini sudah ada seramai 43 Ahli Parlimen yang akan menyertai Pakatan Rakyat termasuk di kalangan MP Terengganu," kata Ketua Angkatan Muda PKR Terengganu, Faris Musa sebagaimana dilaporkan Harakadaily.
Itu adalah sikap dan pandangan pemimpin PKR. Bagaimana pula dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar memberikan tiga sebab kenapa kerajaan BN akan jatuh pada 16 September ini. Beliau juga menunggu jatuhnya kerajaan Negeri Sembilan yang ada ekoran krisis dalaman mereka. Pakatan Negeri Negeri Sembilan memerlukan tiga sahaja wakil rakyat BN menyertai mereka untuk membentuk kerajaan baru di negeri itu.
"Pertama, krisis dalam BN terlalu besar untuk dipertahankan. Mereka saling serang menyerang antara satu sama lain. Yang kedua, ramai pemimpin BN terlibat dalam perniagaan. Mereka tidak akan biarkan krisis ini berterusan kerana ia tidak baik untuk perniagaan mereka. Sebab yang ketiga adalah tidak ada pemimpin dalam BN yang diyakini dapat menyatukan Malaysia. Mereka melihat Anwar sebagai alternatifnya," kata Zul kepada saya.
"Jika awak terpaksa membuat pilihan untuk menyertai Pakatan Rakyat atau bersama dengn Umno dalam BN untuk membentuk kerajaan, apa pilihan awak," tanya saya secara nakal kepada beliau.
Zul dengan tegas dan jelas berkata, "Saya tidak akan membuat pilihan itu. Pilihan yang ada adalah saya akan bersama-sama dengan semua pimpinan untuk membuat satu keputusan sahaja. Keputusan yang ada sekarang adalah kami bersama dengan Pakatan Rakyat dan saya yakin keputusan ini akan kekal."
Sikap yang ditunjukan PJ Negeri Sembilan ini adalah sikap kebanyakan pimpinan Pas. Namun, senario yang ada kurang menyenangkan beberapa pihak.
Menurut satu laporan, DAP belum lagi diajak berunding dengan jelas tentang perancangan 16 September ini.
Pendek kata, mereka tidak jelas apa sebenarnya yang akan berlaku pada 16 September ini. Begitu juga Pas. Saya difahamkan, kebanyakan pemimpin parti itu juga tidak tahu dengan jelas apa akan berlaku pada 16 September ini.
Saya difahamkan, beberapa siri perbincangan telah dibuat oleh pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat sebelum pilihan raya kecil Permatang Pauh. Namun, secara rasminya tidak ada sebarang perbincangan lagi selepas kemenangan besar Anwar di Permatang Pauh itu. Bagi saya perbincangan ini penting kerana Permatang Pauhlah yang menyebabkan keyakinan rakyat naik menjulang bahawa 16 September akan berlaku.
Lajnah Politik Pas akan bermesyuarat 13 September ini. Kebiasaannya lajnah yang paling berkuasa dalam membuat keputusan mengenai politik dalam Pas ini akan bermesyuarat apabila keputusan penting mahu dibuat mengenai senario politik di negara ini.
13 September bermakna tiga hari menjelang hari penting yang dikatakan bakal merubah lanskap politik Malaysia.
"Jika mesyuarat ini dibuat untuk memutuskan keadaan 16 September, ia terlalu lewat," kata saya kepada salah seorang anggota lajnah berkenaan. Dia bersetuju dengan pandangan saya.
Namun, katanya, itulah tarikh yang telah ditetapkan untuk mesyuarat lajnah ini.
Hampir kesemua tokoh penting Pas menjadi anggota lajnah ini. Ia dipengerusikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Kenapa saya katakan ia terlalu lewat? Bagi saya, pemimpin kanan Pas perlu berada bersama-sama dalam team Anwar untuk merangka bersama-sama, apa yang akan berlaku pada 16 September ini. Begitu juga pemimpin kanan DAP sesuai dengan mereka adalah rakan kongsi utama dalam kerajaan baru yang hendak dibentuk nanti.
Jika Pas dan DAP tidak terlibat dalam merancang, sudah tentu hasilnya nanti tidaklah sebaik jika mereka bersama-sama dalam pasukan itu. Tak kan Pas dan DAP mahu memetik hasilnya sahaja tanpa turut serta bekerja keras untuk mendapatkannya.
Harapan saya, maklumat bahawa pemimpin kanan Pas dan DAP tidak terlibat dalam perancangan projek 16 September ini adalah maklumat yang tidak tepat. Jika tidak, Pas dan DAP bakal menjadi gerabak sahaja dalam kerajaan baru itu nanti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment